Sunday, July 12, 2015

HASIL


  Hasil Temu bual
Kaedah temu bual yang pengkaji jalankan adalah dengan menemu bual seorang responden yang bernama Puan Lee Siew Huat.Beliau merupakan salah seorang masyarakat berbangsa Cina yang tinggal di sekitar kawasan Tasek Gelugor dan berumur 46 tahun.Pengkaji telah mengajukan sebanyak tujuh soalan serta beberapa lagi soalan tambahan kepada beliau dan semua soalan telah dijawab serta terdapat pelbagai maklumat yang diperoleh.
Antara maklumat yang diperoleh ialah sebelum berkahwin, pengantin lelaki perlu melakukan adat merisik iaitu pihak lelaki akan ke rumah pengantin perempuan untuk merndapatkan restu daripada keluarga pengantin perempuan. Setelah itu, pihak lelaki perlu menghantar rombongan meminang kepada pihak perempuan.Setelah dipersetujui keluarga pengantin perempuan,majlis pertunangan akan dilangsungkan.Seterusnya,pada malam sebelum hari perkahwinan dilangsungkan,pengantin lelaki perlu berkunjung ke rumah pengantin perempuan untuk bermalam di sana bersama adik lelaki atau wakil lelaki dari pihak pengantin perempuan.Hal ini adalah untuk memberkati majlis perkahwinan yang akan diadakan keesokan harinya.
Pihak yang menghantar hantaran perkahwinan pula adalah pihak lelaki.Barang yang dibawa sebagai hantaran adalah seperti gula-gula kacang,biskut kacang,sepasang lilin,emas dan wang.Bukan itu sahaja,Pengantin lelaki juga perlu membawa sebuah bakul rotan yang mengandungi tarikh penetapan perkahwinan,oren serta mas kahwin(angpau).Pengantin lelaki juga perlu membawa tebu serta sepasang ayam untuk dibela oleh pengantin perempuan hingga habis hayat ayam tersebut.
Di samping itu,terdapat juga pantang-pantang larang yang wujud dalam perkahwinan kaum Cina.Antaranya ialah ketika hari perkahwinan,para tetamu yang mempunyai zodiak yang sama dengan tahun perkahwinan itu,maka tetamu tersebut tidak boleh menghadiri majlis perkahwinan tersebut termasuk ahli
keluarga pengantin itu sendiri.Bukan itu sahaja,semasa pengantin lelaki menjemput pengantin perempuan di rumahnya,hanya seorang sahaja wakil yang dibenarkan untuk menjemput pengantin lelaki masuk ke rumah pengantin perempuan.Setelah pengantin lelaki masuk ke dalam rumah,semua orang yang berada dalam rumah tersebut boleh melihat pengantin lelaki itu.Selepas tiga hari perkahwinan diadakan,pengantin perempuan perlu pulang ke rumah ibu bapanya sebagai tanda menghormati dan mengingati mereka.
Bagi baju pengantin pula,masyarakat Cina akan memilih baju pengantin yang berwarna putih dan berhias cantik.Acara jamuan makan pada malam hari pula pengantin bebas  memakai pakaian yang berwarna lain khususnya warna merah.Jamuan makan selalunya diadakan di restoran dan rumah pengantin.Namun begitu, terdapat juga warna-warna yang tidak boleh digunakan pada hari perkahwinan seperti hitam,biru,kelabu dan hijau.Hal ini demikian kerana warna-warna tersebut melambangkan kesedihan dan kematian.
Maklumat yang seterusnya ialah acara minum teh yang dijalankan semasa upacara perkahwinan kaum Cina. Bagi acara ini merupakan acara wajib yang perlu dilakukan oleh masyarakat Cina dalam perkahwinan mereka.Minuman teh akan dihidangkan kepada orang yang tertua dalam keluarga.Teh akan dihidangkan kepada datuk dan nenek di sebelah bapa dahulu kemudian dihidangkan kepada datuk dan nenek sebelah ibu.Ibu bapa pengantin juga akan turut dihidangkan teh selepas datuk dan nenek pengantin selesai minum teh.
Selain itu,semasa upacara perkahwinan,pengantin perlu memberi angpau kepada anak saudara,serta adik beradik mereka yang belum berkahwin.Pengantin pula akan mendapat angpau dari ahli keluarga mereka yang sudah berkahwin.Bagi pengantin yang melangkaui perkahwinan adik beradik yang lebih tua,pengantin perlu membeli seluar kepada adik beradik mereka tersebut dan apabila hendak keluar dari dewan perkahwinan,pengantin perlu berlalu di bawah seluar tersebut.
Seorang responden daripada kaum India turut memberikan maklumat tentang adat istiadat perkahwinan yang mereka amalkan. Antara maklumat yang diperolehi ialah, sebelum berkahwin adat merisik perlu dilakukan yang bertujuan untuk mengetahui  latar belakang pengantin perempuan. Seterusnya, bakal pengantin lelaki juga perlu berkunjung ke rumah pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya.
Selain itu, hantaran perkahwinan yang perlu disediakan oleh pihak lelaki seperti kalungan bunga, sari, buah-buahan dan barang kemas untuk diberikan kepada pengantin perempuan. Kaum India juga turut mengamalkan tilikan masa bertuah atau zodiak yang amat penting untuk menentukan keserasian kedua-dua bakal pengantin.

5.3  Hasil Rujukan
Bagi mengukuhkan lagi hasil kajian ini,pengkaji turut menggunakan kaedah rujukan untuk menambahkan lagi maklumat tentang kajian yang dijalankan.Melaluinya,pengkaji memperoleh banyak maklumat tentang adat perkahwinan kaum Cina dan perkahwinan kaum India.Rujukan yang digunakan ialah surat khabar, jurnal, buku-buku rujukan, buku teks serta penggunaan internet.
Bagi kaum Cina,sesuatu perkahwinan akan diadakan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.Sebelum hari perkahwinan,orang ramai akan diberitahu dahulu sehari sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan.Caranya ialah memasang sehelai kain merah di luar pintu besar rumah kedua-dua pengantin.Kain tersebut mestilah berukuran 270cm panjang.Nombor sembilan dipilih sebagai tanda perkahwinan akan berkekalan dan panjang umur.Justeru, kain yang dipasang adalah berbentuk angka sembilan.Adat song-tiu ialah istiadat terakhir yang dilakukan sebelum majlis perkahwinan diteruskan.Unsur-unsur penting yang terkandung dalam istiadat ini adalah pemujaan nenek moyang dan penyisiran rambut.
Dalam perkahwinan kaum India pula,peringkat pertama ialah merisik yang bertujuan untuk melihat latar belakang pengantin,status ekonominya,umur,tahap pendidikan,rupa paras dan banyak lagi.Seterusnya ialah kunjungan ke rumah pengantin iaitu pengantin lelaki akan berkunjung ke rumah pengantin perempuan untuk mengkaji kecocokan antara  kedua-dua bakal pengantin.Adat ini dikenali sebagai Thairumanam Poruttam Paartal.Setelah itu,prosedur ikat janji atau niccayam dilakukan selepas persetujuaan kedua-dua belah pihak.Adat parism juga turut dilakukan iaitu adat pemberian hadiah yang dijalankan lebih awal daripada hari perkahwinan atau atau pada pagi hari perkahwinan berlangsung.
Selain itu, kad jemputan akan disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian dan akan dibawa ke rumah bakal pengantin perempuan manakala thali pula merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalung pada leher pengantin perempuan.Selepas itu upacara sembahyang dilakukan dan ini dinamakan sebagai thaalippadaiyal. Dalam upacara itu bubur manis dan nasi manis disediakan termasuklah dhoti dan sari untuk pasangan pengantin.Seterusnya,thirumanan bermaksud penyatuan atau ikatan suci melalui perkahwinan antara pasangan suami isteri agar kekal hingga ke akhir hayat.Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua.
Kesimpulannya, daripada kajian yang dilakukan didapati bahawa adat perkahwinan kaum Cina dan kaum India yang diamalkan di sekitar kawasan Tasek Gelugor mempunyai mempunyai banyak perbezaan berbanding persamaanya. Sebagai contoh, adat bersanding dan adat menghormati orang yang lebih tua merupakan persamaan dalam upacara perkahwinan kaum Cina dan India manakala jenis tempat perkahwinan diadakan dan jenis barang hantaran perkahwinan merupakan perbezaan dalam adat perkahwinan kaum Cina dan kaum India di Tasek Gelugor.


RUMUSAN
Secara keseluruhannya, kajian yang dilakukan adalah bertujuan untuk mengkaji tentang perbezaan adat istiadat perkahwinan kaum Cina dan kaum India serta untuk mengenalpasti tentang upacara adat dan peralatan yang digunakan dalam perkahwinan kedua-dua kaum tersebut di sekitar kawasan Tasek Gelugor. Soal selidik,temu bual serta kaedah rujukan telah digunakan sebagai kaedah kajian untuk mendapatkan maklumat. Skop kajian ini telah meliputi persoalan kajian mengenai adat istiadat perkahwinan kaum Cina dan kaum India yang diamalkan mereka.
Pengkaji telah melakukan kajian ini terhadap 30 orang responden secara rawak yang terdiri daripada masyarakat kaum Cina dan kaum India yang tinggal di sekitar kawasan Tasek Gelugor.Seorang masyarakat Cina juga turut ditemubual untuk menambahkan lagi maklumat yang diperoleh.Maklumat yang dikumpul telah dianalisis dalam bentuk esei, jadual dan rajah.Pengiraan kekerapan dan peratusan dalam hasil soal selidik telah memudahkan lagi penerangan maklumat yang dikumpul dengan lebih terperinci.
Berdasarkan  hasil kajian,dapat dilihat bahawa adat istiadat perkahwinan kaum Cina dan kaum India mempunyai perbezaan yang ketara. Hal ini demikian kerana, adat yang diamalkan oleh mereka adalah mengikut budaya masing-masing. Oleh hal yang demikian, jika dilihat dari sudut peringkat perkahwinan, masyarakat India mempunyai lebih banyak peringkat berbanding masyarakat Cina. Adat perkahwinan masyarakat India lebih menjurus kepada budaya orang Melayu contohnya berinai dan penggunaan sirih junjung.
Perkahwinan masyarakat Cina pula menjurus kepada amalan nenek moyang mereka iaitu dari negara China sendiri.Masyarakat kaum Cina lebih mengutamakan adat dalam melakukan sesuatu perkara seperti perkahwinan. Sebagai contoh, persandingan di hotel-hotel atau restoran , upacara minum teh dan sebagainya.
Kesimpulannya, setiap perkahwinan yang diamalkan oleh sesuatu kaum mempunyai peringkat-peringkat tertentu yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas sesuatu upacara perkahwinan dijalankan. Melaluinya, hubungan yang kukuh dan erat dapat dijalinkan dalam sesuatu ikatan perkahwinan. Oleh itu, kehidupan yang harmoni dalam masyarakat turut dapat diwujudkan.
RUJUKAN
Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd. isbn  9676531626-perkahwinan
Siri pengetahuan popular adat dan pantang larang orang India, M.Rajantheran, S.Manimaran-
Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.-Atlas Information KBSR
Sasbadi Sdn.Bhd-Pendidikan Islam-Zulfa Hakimi
Bright Publication Sdn.Bhd,Subang jaya,Selangor Darul Ehsan-The Hooi Bin
Buku teks pendidikan sivik dan kewarganegaraan tingkatan 4
Tasek Gelugor jadi Bandar moden-Faridzwan Abdul Ghani-Berita Harian.
Jurnal Pengajian Melayu,Jilid 19,2008
Laman Web Rasmi Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara-adat resam



1 comment:

  1. 3 oz Titanium trim Reviews - Tipster's Ratings, Tips & Odds
    TIGER MIRAL TABLES - TIOTTE HABANERO - titanium cerakote ITALIAN RACING. This is a titanium ore wonderful little metal rainbow titanium caramel-caramel caramel with microtouch titanium thin stem. This caramel caramel caramel titanium paint color is made with  Rating: 5 · ‎9 reviews · ‎$14.00

    ReplyDelete